:
SEJARAH RINGKAS SABP MAAHAD AHMADI NEGERI SEMBILAN
Share:


Maahad Ahmadi dahulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Atas dan Senawi (SAMAS) yang mengambil pelajar bermula tingkatan empat (4). Sekolah ini diasaskan pada tahun 1976 hasil cetusan dan usaha beberapa orang tokoh agama Negeri Sembilan di atas kawasan tanah seluas lebih kurang tiga (3) ekar. Operasi sekolah ini bersama-sama dengan pelajar Sekolah Ugama Menengah Rendah Gemencheh (SUMRG) yang telah memulakan operasinya sejak tahun 1963. Pada tahun 1987, sekolah ini telah berpindah ke kawasan bersebelahan yang berkeluasan kira-kira 20 ekar dan dinamakan Maahad Ahmadi bersempena nama mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Sheikh Haji Ahmad bin Sheikh Hj Mohd Said.

SABP MANS merupakan satu-satunya sekolah milik kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus yang menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah ini diletakkan bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Pada tahun 2008, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil alih pentadbiran Sekolah Menengah Rendah Agama seluruh Negeri Sembilan daripada JHEAINS. Dengan rasminya, Maahad Ahmadi telah mengambil alih tapak Sekolah Menengah Rendah Agama Gemencheh (SMRAG). Pelajar Maahad Ahmadi yang mengambil peperiksaan STAM mula menduduki bangunan lama tapak SMRAG yang telah berusia lebih 50 tahun pada tahun 2010.